Chor Chee Heung menyampaikan replika kunci rumah kepada wakil penduduk, Jasmi Datuk Jaafar (dua kanan) dalam Majlis Penyerahan Kunci Projek Perumahan Taman Desa Mesra di Permatang Badak, Kuantan, Pahang semalam. Turut hadir Mohd. Soffi Abdul Razak (tiga kiri), Abdul Manan Ismail (kiri) dan Suhaimi Sulong (kanan)

ARKIB : 27/03/2013
Oleh MOHD.FAIRUZ YUSOF
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

KUANTAN 26 Mac - Sebanyak 11 projek perumahan swasta terbengkalai direkodkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di negeri ini, melibatkan 2,912 unit rumah bermula 2009 hingga 28 Februari lalu.

Menterinya, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, daripada jumlah projek perumahan yang bermasalah tersebut sebanyak sembilan daripadanya telah berjaya diselesaikan manakala dua lagi pula sedang dibaik pulih.

Menurutnya, kejayaan itu adalah hasil kerjasama antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang prihatin terhadap masalah dihadapi rakyat dan sedaya upaya cuba untuk mencari jalan penyelesaian terbaik tentang projek perumahan bermasalah.

"Salah satu projek yang berjaya disiapkan ialah Taman Desa Mesra di sini yang terbengkalai sejak 25 tahun lalu dan membawa kelegaan kepada para pembeli di sini kerana menunggu terlalu lama untuk mendiami kediaman sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci dan Sijil Layak Menduduk (CFO) Projek Perumahan Taman Desa Mesra di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Pengangkutan dan Pertumbuhan negeri, Datuk Mohd. Soffi Abdul Razak; Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail dan Pengarah Eksekutif YYM Builders Sdn. Bhd., Datuk Suhaimi Sulong.

Dalam pada itu Chee Heung berkata, projek perumahan taman tersebut melibatkan 212 unit kediaman bermula pada 1985 dan sepatutnya siap 1987 tetapi terhenti apabila pemaju asal menghadapi masalah kewangan.

"Kerajaan membelanjakan sebanyak RM11.8 juta untuk menampung kos pemulihan projek perumahan berkenaan dengan syarikat YYM Builders yang dilantik sebagai kontraktor penyelamat dan menyiapkannya dalam tempoh 14 bulan," katanya.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Pahang/20130327/wp_01/9-projek-terbengkalai-diselesai#ixzz56c1rWAtK
© Utusan Melayu (M) Bhd

YYM BUILDERS SDN BHD
A101 - 2, Sri Dagangan, Jalan Tun Ismail, 25000 Kuantan, Pahang Darul Makmur   |   Tel : +609 - 516 1688 / 2688 Fax : +609 - 516 3688
Copyright © 2024 yym.com.my. All rights reserved. Powered by : www.my88.biz  

Go to top